Menurut kajian pendapat awam isu semasa bertajuk Reaksi
Belia Terhadap Perlaksanaan Parlimen Belia Malaysia (2011) yang telah
dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM)
mendapati 86 peratus atau seramai 4730 orang responden menyatakan Parlimen
Belia perlu wujud sekalipun telah ada Parlimen Kerajaan Malaysia. Ini
menggambarkan betapa para belia memerlukan sebuah platform yang diiktiraf bagi
menyalurkan idea dan aspirasi mereka.
Sebagai Negeri Kerja Belia, Negeri Sembilan harus
mengambil kesempatan untuk menjadi antara negeri terawal dalam mewujudkan
Parlimen Belia di peringkat negeri yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri
(DUN) Belia bagi memenuhi aspirasi dan suara belia di peringkat Negeri Sembilan
dan sebagai lanjutan dan kesinambungan di peringkat negeri daripada penubuhan
Parlimen Belia Malaysia di peringkat nasional. Ia juga bertepatan dan selari
dengan semangat Rancangan Pembanguan Belia Negeri Sembilan (RPBNS) yang berhasrat
untuk meningkatkan partisipasi dan penghakupayaan para belia sehingga ke
peringkat ‘Young People and Adults Share
Decision Making’ sebagaimana yang diformulakan oleh Roger Hart dalam ‘The Ladder
of Young People’s Participation’.
Sempena
Sambutan Hari Belia Negera Peringkat Negeri Sembilan 2012 pada 19 Mei yang
lepas, YAB Menteri Besar Negeri Sembilan telah mengumumkan hasrat Kerajaan
Negeri untuk menubuhkan DUN Belia dan langkah proaktif telah diambil tidak
sampai seminggu bagi memanggil mesyuarat pertama untuk membincangkan dan
mengatur gerak kerja ke arah penubuhan DUN Belia Negeri Sembilan. Ia menjadikan
Negeri pertama dalam Malaysia yang sudah bergerak untuk menubuhkan DUN Belia
sebagaimana yang disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia sendiri di
Parlimen Malaysia ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak
berkaitan penubuhan Parlimen Belia di negeri-negeri.
No comments:
Post a Comment